Monday, March 8, 2010

Redha dengan ketentuan-Nya

Redha dengan segala ketentuan Allah, menerima segala peraturan-peraturan itu dengan berlapang dada dan bersenang hati, tidak terasa terpaksa dan dipaksa adalah gambaran kepada kesempurnaan iman dan kepatuhan kepada Allah..

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ". ( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Segala perintah baik melakukan yang wajib atau meninggalkan yang haram perlu kita semua sempurnakan dengan senang hati dan berlapang dada..

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Redha dengan nasib kita..
Redhalah dengan ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t,iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :
" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " .
(Riwayat Muslim)

Percayalah,
bahawa sesungguhnya Allah s.w.t.memastikan terjadinya sesuatu perkara itu sebagai menunjukkan bahawa Dialah yang Maha berkuasa menentukan sesuatu dan Dialah sebaik-baik pencipta dan Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Yakinlah bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri..

Akhirnya, redha dengan rezeki yang ada, banyak atau sedikitnya bukanlah ukuran..Didalam rasa cukup dengan apa yang ada (qana'ah) itu terdapatnya mutiara kebahagiaan bagi orang-orang yang mengerti.

Rujukan Dari : Taqarrub Kepada Allah.
Coretan Nasihat untuk diri ini...
moga manfaatnya dapat ditempiaskan kepada yang turut membaca..
wallahualam.

1 comment:

YaQeen Ahmad said...

Redha dan tawakal selepas diusahakan sesuatu.